Tuesday, April 27, 2010

Kenali Sasterawan Negara ke 4 dan ke 10

Anugerah Sasterawan Negara (Malaysian National Laureate) merupakan anugerah tertinggi yang diberikan oleh kerajaan Malaysia kepada mereka yang menyumbang dalam bidang sastera bahasa Melayu.

Senarai penerima anugerah Sasterawan Negara :

1. 1981 : Kamaluddin Muhamad atau Keris Mas
2. 1982 : Dato' Shahnon Ahmad
3. 1983 : Datuk Dr. Usman Awang
4. 1986 : Datuk A. Samad Said
5. 1988 : Muhammad Dahlan bin Abdul Biang atau Arena Wati
6. 1991 : Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh
7. 1993 : Datuk Noordin Hasan
8. 1996 : Datuk Abdullah Hussain
9. 2001 : S. Othman Kelantan
10. 2009 : Dr. Anwar Ridhwan





Y.Bhg. Datuk A. Samad Said

Abdul Samad bin Muhammad Said atau nama penanya A. Samad Said, Hilmy Isa, Isa Dahmuri, Jamil Kelana, Manja, Mesra, dan Shamsir dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka. Semasa berumur enam bulan, A. Samad Said dibawa oleh keluarganya ke Singapura. A. Samad Said memperoleh pendidikan formal di Sekolah Melayu Kota Raja hingga lulus darjah IV (1940-1946). Kemudian A. Samad meneruskan pengajiannya dalam kelas petang di Victoria Institution hingga memperolehi sijil Senior Cambridge (1956).

Pengalaman kerjaya A. Samad Said bermula sebagai kerani, pengarang di Utusan Melayu, Berita Harian, Kumpulan The Straits Times, dan ketua pengarang akhbar Warta Teberau. Jawatan terakhir A. Samad Said ialah sebagai ketua pengembangan sastera dalam Kumpulan Akhbar The New Straits Times, Kuala Lumpur. Kini A. Samad Said menjadi penulis sepenuh masa yang aktif berkarya.

Sejak di bangku sekolah lagi minatnya terhadap sastera mula berputik apabila beliau berjinak membaca karya sastera dalam dan luar negera geperti karya Ajip Rosidi, Rendra, Pramoedya, Achdiat, Hamzah dan Wijaya Mala. Beliau juga membaca novel seperti Oliver Twist, Wuthering Height, dan Almayer's Folly. Beliau juga menggunting dan menyimpan cerpen daripada akhbar tempatan dan mengkajinya sebelum menghasilkan cerpennya sendiri. Kegiatan menterjemah beberapa karya asing juga secara tidak langsung memperkuatkan minatnya terhadap kesusasteraan.

Bermula detik alam persekolahan hingga kini A. Samad Said tidak jemu menghasilkan puluhan karya dalam genre novel, puisi, drama, cerpen, dan esei untuk mewarnakan dunia sastera di persada tanah air dan antarabangsa. Antara karya besar yang dihasilkan ialah Salina, Bulan Tak Bermadu di Fatehpur Sikri, Sungai Mengalir Lesu, Di Hadapan Pulau, Langit Petang, Daerah Zeni, Hujan Pagi, Lantai T Pinkie, Wira Bukit, Benih Harapan, Benih Semalu, Daun Semalu Pucuk Paku dan Warkah Eropah, AL-AMIN , Riwayat Hidup Rasululiah s.a.w dalam Puisi (1999) dan kumpulan puisi Suara Dari Dinding Dewan (2003) terbitan Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd. Sentuhan karyanya yang terbaharu ialah novel Adik Datang, kumpulan puisi Dirgahayu Dr Mahathir dan kumpulan puisi kanak-kanak Rindu Ibu yang diterbitkan oleh Wira Bukit Sdn Bhd.Beberapa karyanya diadaptasi menjadi teater/drama pentas seperti Salina, Sungai Mengalir Lesu, Lantai T. Pinkie, dan Memori Di Hadapan Pulau.

Pencapaian dan sumbangan A. Samad Said dalam memperkayakan dan memertabatkan kesusasteraan Melayu telah mendapat penghargaan kerajaan apabila beliau menerima pelbagai anugerah. Antaranya termasuklah Pejuang Sastera (1976), SEA Write Award (1979), Anugerah Sasterawan Negara (1985), dan Anugerah Sasterawan Nusantara (1999).

Selain pengiktirafan dalam bidang sastera, A.Samad Said juga telah dianugerahkan darjah kebesaran Negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk dalam tahun 1997 oleh Yang Dipertua Negeri Melaka.

(Dewan Sastera : Ogos 2003)




Y.Bhg. Dato' Dr. Anwar Ridhwan

Dato' Dr. Mohd Anwar Ridhwan (5 Ogos 1949) merupakan Sasterawan Negara Malaysia ke-10 dan juga merupakan seorang penulis novel Malaysia. Beliau dilahirkan pada 5 Ogos 1949 dalam keluarga petani yang berasal dari Perak yang kemudiannya menetap di Sungai Besar, Selangor. Pada 11 Ogos 2009, beliau diumumkan sebagai Sasterawan Negara Malaysia ke-10 oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Anwar Ridhwan adalah seorang sasterawan yang terkemuka dari Malaysia. Nama sebenarnya Dato' Dr. Anuar bin Haji Rethwan dilahirkan di Sabak Bernam, Selangor pada 5 Ogos 1949. Lulusan Sarjana Muda Sastera (1973)dari Universiti Malaya, beliau kemudiannya memperolehi ijazah Sarjana Sastera (1983) dan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D)(1998) kesemuanya dari Universiti Malaya. Beliau menumpukan kerjayanya di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sehinggalah bersara pada tahun 2005 dengan jawatan terakhirnya Pengarah Penerbitan DBP.

Dalam dunia penulisan beliau terkenal sebagai seorang novelis dan penulis cerpen. Novelnya yang pertama ialah Hari-hari Terakhir Seorang Seniman yang memenangi Hadiah Novel Gapena-Yayasan Sabah, 1979. Sebuah lagi novelnya Arus (1985) memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985.Antara cerpen karyanya ialah Perjalanan Terakhir (1971), Dunia adalah Sebuah Apartmen (1973), Sesudah Perang (1976)dan Dari Kiev ke Moskova (1992). Karya beliau yang diilham dan disiapkan di Jepun pada tahun 2001 berjudul Naratif Ogonshoto memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2000/2001. Novel itu dengan judul "Bili i Nebili Ostrovov Ogonsoto" diterbitkan dalam bahasa Rusia (penterjemah Victor Pogadaev) pada tahun 2006 di Sanct-Petersburg (penerbit Paideia).

Pencapaian

Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen "Perjalanan Terakhir (1971) ;
Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Dunia Adalah Sebuah Apartmen (1973) ;
Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Sesudah Perang (1976) ;
Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Sasaran,
Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Sahabat (1982) ;
Hadiah Karya Sastera Malaysia - Cerpen Menjadi Tua (1983) ;
Hadiah Pertama peraduan mengarang novel anjuran Yayasan Sabah dan GAPENA 1 Hari-hari Terakhir Seorang Seniman (1979) ;
Hadiah Sastera Malaysia 1984/1985 dengan novel Arus ;
Anugerah Sasterawan Negara ke-10 pada 20 Ogos 2009 .

(wikipedia)

Ingin bertemu sendiri dengan 2 orang Sasterawan Negara ini ?? Datanglah berduyun-duyun bersama keluarga dan rakan ke :

Malam Puisi Riong - Shah Alam, Selangor.
"Wasilah Cinta Pencipta dan Manusia"
Laman Budaya, Taman Tasik Shah Alam.
30 April 2010 (Jumaat), 8.00 malam.